Isu Semasa: Penggunaan kad kredit mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada pengguna?

Penggunaan kad kredit mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada pengguna.

Bincangkan pernyataan tersebut.

Kad kredit dilihat sebagai pengganti wang tunai atau dikenali sebagai wang plastik. Antara contoh kad kredit yang tersohor di dunia ini meliputi American Express, Visa, dan Master Card itu. Pihak media massa di negara ini melihat penggunaan kad kredit sebagai satu trend dalam kalangan masyarakat kita terutama golongan remaja yang baru menyertai alam pekerjaan itu. Sebenarnya, penggunaan kad ini membawa pelbagai implikasi sama ada baik atau buruk.

Kebaikan utama kad kredit ialah pengguna tidak perlu membawa wang tunai yang banyak apabila keluar membeli-belah. Situasi ini menjadikan pengguna lebih berminat untuk menggunakan kad kredit apabila membuat sebarang pembelian. Seseorang itu hanya perlu melayangkan kad apabila membuat pembelian tanpa sebarang masalah pula. Jadi, kad kredit diminati penggunaanya kerana kad ini menjadikan penggunaan wang tunai semakin berkurangan dalam setiap urus niaga itu.

Ketiadaan wang tunai dalam sebarang urusan pembelian juga menjadikan aspek keselamatan pengguna lebih terjamin. Kajian sudah membuktikan bahawa penjenayah sering mencari mangsa berdasarkan jumlah wang yang dibawa oleh mangsa tersebut. Penjenayah akan berfikir dua kali untuk merompak pengguna kerana menyedari mangsa itu tidak membawa wang tunai yang banyak setiap kali keluar rumah.  Oleh itu, pengguna berasa lebih selamat daripada penjenayah apabila menggunakan kad kredit yang tidak melibatkan wang tunai itu.

Namun, penggunaan kad kredit juga ada keburukannya seperti pengguna akan berbelanja berlebihan apabila menggunakan kad itu. Pembelian kad kredit yang tidak melibatkan wang tunai memudahkan masyarakat untuk menjadi rambang mata setiap kali keluar membeli-belah. Mereka akan terdorong untuk membeli kerana tertarik dengan jualan murah tanpa menyedari bahawa mereka sudah berbelanj melebihi kemampuan kewangan sendiri. Akibatnya, pengguna yang menggunakan kad kredit tidak akan prihatin dengan nilai wang yang dibelanjakan kerana tiada wang tunai yang dikeluarkan oleh mereka.

Selain itu, pembelian yang keterlaluan ini akan mendorong masyarakat menjadi mangsa hutang lapuk pula. Jumlah kad kredit hendaklah diselesaikan setiap bulan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pihak bank mengenakan kadar bunga yang tinggi pula. Sikap tidak peduli pengguna terhadap aspek pembayaran pada masanya boleh membawa jumlah hutang kad kredit itu menjadi lebih tinggi daripada jangkaan pengguna. Maka, pihak bank akan mengambil tindakan undang-undang untuk mengisytiharkan pengguna sebagai muflis apabila mereka gagal menjelaskan hutang keseluruhan kad kredit itu pada masa tertentu.

Malah, kes penyelewengan kad kredit juga boleh berlaku terutama oleh kumpulan sindiket penjenayah yang akan mengklonkan kad kredit pengguna. Laporan media massa telah menyiarkan banyak kejadian pengguna dikenakan bayaran tanpa diri mereka sendiri membuat pembelian itu. Kejadian penyelewengan ini bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di seluruh dunia kerana kad kredit boleh digodam oleh pakar komputer dengan mudah. Sesungguhnya, jenayah yang melibatkan penyelewengan kad kredit dijangka akan menjadi kes jenayah yang paling banyak berlaku pada masa depan.

Konklusinya, penggunaan kad kredit memerlukan penilaian yang rasional lagi bijak dalam diri pengguna itu. Kadar pengguna yang diumumkan muflis terus meningkat saban tahun yang membuktikan bahawa penggunaan kad kredit ini   terus menghantui kehidupan masyarakat kita. Kegagalan untuk memahami betapa meruncingnya isu ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya lalu membawa kejatuhan ekonomi secara drastik. Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri yang mengingatkan kita betapa pentingnya berbelanja mengikut kemampuan kewangan sendiri dalam mengharungi kehidupan materialistik ini.

 

Latest Comments
  1. Intung
  2. balqis
  3. Zulaika
  4. william
  5. Shurthi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!