Jenayah seksual dan lucah melibatkan kanak-kanak harus dibanteras.

Jenayah seksual dan lucah melibatkan kanak-kanak harus dibanteras

Kejadian individu yang telah mencabul beberapa mangsanya di Malaysia telah membuka mata pelbagai pihak di negara ini. Kes Richard Huckle telah mengejutkan semua pihak baik kerajaan mahupun NGO yang berperanan menjaga keselamatan kanak-kanak negara ini.

Namun, isu yang paling penting tetapi masih diabaikan ialah kanak-kanak di negara ini masih terdedah kepada jenayah sebegini. Malah, kita boleh katakan bahawa negara ini tidak mempunyai peruntukan undang-undang yang cukup dan menyeluruh untuk menangani isu penyebaran dan penggunaan bahan lucah kanak-kanak. Huckle didakwa di negara Britain kerana negara itu mempunyai peruntukan perundangan yang menyeluruh dalam jenayah sebegini sehingga dijatuhkan hukuman perjara sepanjang hayat sebanyak 22 kali.

Dakwaan pihak polis Britain bahawa mereka berjaya menahan pencabul kanak-kanak itu menerusi siasatan yang berjalan agak lama dengan memasuki alam internet gelap (Dark Internet) telah mengejutkan semua pihak terutama di negara ini.Keupayaan polis Britain menjalankan operasi mereka sehingga berjaya menyelongkar kegiatan penjenayah itu telah memukau pihak masyarakat di negara ini. Polis negara itu menjalankan tugas dengan penuh kerahsiaan demi memastikan mereka berjaya menahan penjenayah yang dikehendaki walaupun berada di negara asing. Kejayaan itu digahkan dengan keupayaan mencari bahan bukti penjenayah itu di dalam internet gelap yang begitu sukar untuk dimasuki oleh pengguna internet biasa.

Pihak polis negara ini hendaklah meningkatkan lagi keupayaan mereka dalam teknologi maklumat lalu berupaya untuk mengesan pesalah yang melakukan jenayah yang terkeji ini. Pada masa yang sama, pihak polis hendaklah diberikan kuasa untuk menahan mereka yang disyaki melakukan jenayah ini tanpa memerlukan laporan daripada pihak mangsa. Penangkapan pesalah jenayah ini boleh dilakukan apabila pihak polis berjaya mengumpul bahan bukti yang membawa kemungkinan individu itu terlibat dalam sesuatu kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Pada masa yang sama, pihak ibu bapa perlulah lebih peka dengan kehidupan anak mereka terutama yang berada di bawah umur itu. Kajian sudah membuktikan bahawa pesalah seksual ini menyasarkan mangsa yang berumur antara 4 hingga 15 tahun. Ibu bapa bukan sahaja mengawasi pergaulan anak tetapi hendaklah memiliki sikap tidak percaya apabila menghantar anak mereka untuk bertemu dengan sesiapa sahaja. Sikap tidak percaya ini akan menjadi dinding terakhir buat mana-mana pesalah jenayah ini sebelum mereka bertindak.

Sikap ibu bapa yang suka memuat naik foto anak mereka juga perlulah dilakukan dengan berhati-hati kerana penjenayah seksual sering menggunakan gambar ini untuk tujuan menjalankan aktiviti mereka terutamnya ketika mereka mula-mula memasang perangkap terhadap mangsa itu. Sekali lagi, sikap tidak apa atau tidak penting menjadikan jenayah ini terus berlaku kerana ibu bapa masih berani memuat turun foto anak mereka dengan sewenang-wenangnya. Sebelum memuat naik foto anak, ibu bapa perlulah sedar impak yang bakal berlaku dan cuba memastikan foto itu selamat.

Masalah dengan masyarakat kita ialah kita jarang ingin mengakui kesilapan sendiri. Kita enggan melihat betapa besarnya masalah ini jika kita masih berdolak-dalih dengan pelbagai alasan terutamanya alasan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan bukti kesalahan ini. Sudah sampai masanya, kita menerima kelemahan diri lalu berusaha menjadikan jenayah ini satu lipatan sejarah pula. Mungkin sudah sampai masanya pihak penyedia internet di negara ini turut menyumbang bantuan mereka dalam menangani isu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!