nav-left cat-right
cat-right

Karangan 16

Pelbagai masalah melanda sekolah kita terutama aspek disiplin pelajar.

Nyatakan kemelut-kemelut yang melanda sistem pendidikan negara.

Aspek pendidikan sesebuah negara sering digunakan sebagai alat ukuran untuk menentukan kejayaan program atau dasar kerajaannya dan Malaysia juga tidak boleh lari daripada kenyataan tersebut. Masyarakat negara ini melihat pendidikan antara komponen terpenting dalam usaha menjadikan negara ini sebuah negara yang maju di rantau sebelah ini. Berdasarkan pandangan ini, sebarang kemelut yang timbul daripada pendidikan dianggap sebagai satu cabaran utama yang harus ditangani oleh negara dengan berkesan. Jadi, apakah kemelut-kemelut yang melanda pendidikan negara kita ini?

Dalam pendidikan, guru dikatakan individu terpenting yang bakal menentukan hala tuju kehidupan seseorang pelajar itu kerana merekalah yang boleh membentuk pelajar menjadi seorang insan yang berguna pada kemudian hari. Malangnya, gurulah yang sering dihimpit pelbagai masalah seperti gaji yang rendah, beban kerja yang terlalu banyak terutama aspek birokrasi dan imej perguruan yang dikatakan tiada prospek tersebut. Semua kritikan ini menyebabkan moral guru untuk mendidik semakin merosot sehingga menjejaskan kredibiliti pengajaran mereka pula di dalam kelas. Maka, masalah guru ini harus diberi penekanan dahulu jika kerajaan mahu memastikan pendidikan negara kita bebas daripada sebarang kemelut yang kronik.

Berkaitan dengan peranan guru, fikiran masyarakat juga harus berubah dengan membuang mentaliti yang menyerahkan tugas mendidik remaja ke atas bahu guru semata-mata. Ibu bapa harus memahami bahawa guru mempunyai pelbagai peranan lain yang melibatkan banyak pelajar selain anak mereka sendiri. Sikap ibu bapa yang suka melepaskan tugas mendidik anak ini kepada guru harus ditegur dan diganti dengan sikap bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memudahkan aspek pendidikan yang harmoni diberikan kepada remaja. Sesungguhnya, jika ibu bapa memandang tugas guru sebagai pembantu mereka dalam mendidik remaja sudah pasti masalah remaja bermasalah akan dapat diatasi dengan lebih mudah dan menyeluruh lagi.

Biasanya pelajar diukur pencapaian di sekolah berdasarkan peperiksaan yang diadakan terutama peperiksaan umum negara seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Usaha menggunakan peperiksaan sebagai alat ukuran bukanlah sesuatu yang baru tetapi turut digunakan di seluruh dunia ini tetapi malangnya di negara kita konsep peperiksaan begitu ditekankan sehingga menjadikan peperiksaan itu satu-satunya cara penilaian diri pelajar. Tekanan yang keterlaluan diberikan kepada peperiksaan menyebabkan pelajar kita dikatakan jenis “menu” yakni hanya tahu menghafal dan memuntahkan semula semua yang diajar bukannya menganalisa sesuatu perkara itu. Jadi, penekanan terhadap peperiksaan menyebabkan pelajar kita tidak memiliki kemahiran minda yang kritis dalam melihat sesuatu fenomena sosial itu.

Bukan sahaja pelajar kita tertekan dek peperiksaan tetapi pelajar kita juga dikatakan tidak lagi berdisiplin seperti generasi pelajar terdahulu. Pelbagai peristiwa negatif yang melibatkan pelajar telah menyebabkan golongan ini dikatakan golongan yang bermasalah terutama pelajar yang ketinggalan dalam pelajarannya. Fenomena kumpulan samseng, kes buli, memukul guru, dan merokok serta terlibat dalam jenayah menjadi antara masalah yang ditimbulkan oleh pelajar di sekolah era globalisasi ini telah menyebabkan imej pelajar begitu rendah pada mata masyarakat umum. Sesunguhnya, pelajar kita memang bermasalah dan mereka terus tidak dibantu untuk mengatasi masalah mereka itu.

Selain itu, sektor pendidikan negara juga dikatakan belum diperoleh sepenuhnya oleh lapisan masyarakat negara ini terutama di kawasan pedalaman. Kita masih lagi mendengar berita-berita bahawa masih ada remaja yang tidak pergi ke sekolah kerana pelbagai alasan antaranya kesukaran untuk pergi ke sekolah yang terlalu jauh, bilangan pelajar yang kurang dan ketiadaan guru di sesetengah kawasan. Semua ini membuktikan bahawa sistem pendidikan kita masih ada kelemahan yang perlu diperbetulkan dengan segera kerana sudah menjadi hak semua rakyat di negara ini untuk memiliki pendidikan yang asas. Oleh itu, pendidikan di negara ini harus diluaskan kepada semua pihak tanpa mengira kesusahan atau kesukaran untuk melakukannya.

Konklusinya, sistem pendidikan negara kita masih banyak kelemahannya tetapi kita masih tidak cuba memahaminya. Semakin lama kita berpura-pura tidak memikirkan masalah ini semakin sukarlah masalah ini untuk diselesaikan pada masa hadapan. Setiap masalah pendidikan harus ditangani secara bersemuka dan serius tanpa ada udang di sebalik batu. Kita tidak mahu sistem pendidikan kita menjadi medan mainan politik sesetengah pihak pula.

PELAJAR PERLU FIKIR
KEPENTINGAN PENDIDIKAN
• Memastikan rakyat negara ini mempunyai pendidikan asas
• Menyediakan keperluan tenaga buruh yang cekap dan setanding dengan negara luar
• Melahirkan satu bangsa yang berfikiran luas

468 ad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Stay updates with Us!