nav-left cat-right
cat-right

Karangan 18

Konsep gotong-royong merupakan amalan murni yang diamalkan di negara ini sejak dahulu lagi.

Nyatakan kebaikan-kebaikan mengamalkan amalan sebegini dalam masyarakat kita.

Konsep gotong-royong merupakan satu konsep yang dianggap unsur terpenting dalam kebudayaan masyarakat kita sejak dahulu. Semua pihak memahami kepentingan amalan ini diamalkan terutama ketika kegawatan ekonomi melanda sesebuah negara itu. Amalan yang sudah begitu lama tertanam dalam naluri masyarakat kita mula dilupakan terutama oleh kalangan remaja kita. Maka, apakah kebaikan-kebaikan yang terjelma menerusi amalan murni ini?

Kebaikan mengamalkan amalan gotong-royong atau bekerjasama ini ialah amalan ini mewujudkan semangat positif antara ahli masyarakat terutama untuk memastikan sesuatu tugasan itu mampu dilaksanakan dengan berkesan. Amalan ini memberikan satu semangat kepada masyarakat bahawa tugasan itu walau berat pun akan mampu diselesaikan dengan begitu baik sekali kerana semua pihak menghulurkan bantuan. Keadaan ini menjadikan semua perkara yang dialami oleh masyarakat dapat diatasi dalam masa yang singkat dan mudah sahaja. Jelaslah, amalan ini memberikan satu suntikan baru tentang konsep bekerjasama antara masyarakat terutama di kawasan urbanisasi.

Dalam kehidupan sekarang yang semuanya berkait dengan kewangan sudah pasti amalan gotong-royong ini mampu menjimatkan kos dan tenaga ketika menjalankan sesuatu majlis itu. Bayangkan majlis perkahwinan yang diadakan oleh satu kawasan kejiranan boleh menjimatkan kos kepada pasangan pengantin kerana semua pihak memberikan bantuan yang boleh mengurangkan belanja mereka. Pada masa yang sama juga bantuan tenaga manusia turut dihulurkan yang menjadikan suasana perkahwinan lebih meriah dan diingati selalu. Maka, konsep kerjasama mampu menjadikan kos sesuatu majlis itu lebih rendah daripada kebiasaannya.

Jika amalan ini diamalkan dalam masyarakat sudah pasti tahap perpaduan akan meningkat dengan begitu ketara kerana semua ahli dalam sesebuah masyarakat itu saling kenal mengenali antara mereka. Kekerapan mereka berjumpa ketika melakukan sesuatu aktiviti menyebabkan mereka saling memahami akan kerenah masing-masing yang mengukuhkan perpaduan antara mereka dalam jangka masa panjang. Jelaslah, amalan yang sudah lama diamalkan ini berupaya untuk menghidupkan semua semangat perpaduan antara kaum di negara ini yang mula dilupakan oleh penduduknya.

Kalau tahap perpaduan begitu tinggi sudah pasti keamanan negara akan berkekalan kerana semua ahlinya memahami satu sama lain dengan mendalam. Keamanan negara yang stabil ini amat penting untuk memudahkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan tanpa adanya sebarang gangguan yang menguggat kelancaran projek tersebut. Semua pihak akan menerima kesan positif daripada keamanan yang wujud ini terutama perkembangan bidang ekonomi yang pastinya amat memerlukan keamanan yang sejati. Sesungguhnya, amalan gotong-royong menjadikan negara ini aman dan membolehkan semua pihak menikmati kemakmuran ekonominya.

Kesimpulannya, amalan yang murni ini harus digalakkan terutama dalam kalangan remaja yang semakin hari semakin melupakannya. Sikap mengutamakan diri dan kebendaan telah mengaburi remaja akan pentingnya amalan ini dihidupkan semula dengan segera. Konsep individualistik yang begitu kuat diamalkan di negara barat dan kini melimpah ke negara kita harus dikaji dengan teliti supaya konsep ini tidak mengikis amalan bergotong-royong ini. Hidup dalam masyarakat lebih bermakna daripada hidup bersendirian.

PELAJAR PERLU FIKIR
CARA-CARA GALAKAN
• Mengadakan kempen dalam kalangan golongan muda
• Menjadikan aktiviti ini satu aktiviti wajib dalam kalangan masyarakat setempat
• menubuhkan satu badan khas yang mengawasi perjalanan gotong-royong di kawasan kejiranan
• pemimpin negara terus melaungkan kepentingan amalan ini

468 ad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Stay updates with Us!