nav-left cat-right
cat-right

Karangan 3

Negara kita memiliki kawasan hutan yang luas. Sejak beberapa tahun belakangan ini, banyak kawasan hutan ini yang telah diteroka untuk mendapatkan hasil kayunya yang begitu tinggi dan mewujudkan kawasan pembangunan baru. Keadaan ini semakin menjadi-jadi terutama di kawasan luar bandar yang sukar untuk diawasi.

Pada pendapat anda apakah kesan-kesan negatif yang timbul daripada pembalakan.

Hutan di Malaysia memang diakui sebagai antara hutan belantara yang memiliki kepelbagaian flora dan fauna yang sudah wujud sejak ribuan tahun yang lalu. Keadaan ini menyebabkan kawasan hutan negara kita umpama makmal yang menunggu ahli saintis untuk membuat pelbagai kajian yang boleh mendatangkan kesan baik kepada manusia. Cuma sejak akhir-akhir ini, media massa mula memaparkan pelbagai berita tentang kemusnahan hutan yang berlaku dengan begitu meluas seolah-olah pihak kerajaan tidak membuat sebarang usaha untuk mengawalnya. Oleh itu, banyak kesan negatif yang timbul ekoran kemusnahan hutan yang sebegini serius.

Impak yang paling besar ialah kemusnahan hutan negara membawa kemusnahan kepada hidupan di dalamnya yakni flora dan fauna yang unik itu. Ada antara flora dan fauna itu tidak boleh ditemui di mana-mana kawasan hutan di seluruh dunia ini seperti badak sumbu sumatera, harimau belang Asia dan juga gajah Asia. Ketiadaan kawasan hutan menyebabkan kawasan pembiakan dan makanan untuk haiwan-haiwan tertentu menjadi semakin kurang dan akhirnya pupus bersama-sama dengan hidupan liar ini. Perkara yang sama turut membawa kemusnahan kepada sesetengah tumbuh-tumbuhan yang mungkin boleh membantu menyembuhkan pelbagai penyakit manusia zaman moden. Maka, kemusnahan hutan membawa kesan hilanganya flora dan fauna yang amat penting dalam ekosistem negara kita pada masa hadapan.

Bukan sahaja kemusnahan hutan membawa hilangnya flora dan fauna tetapi ketiadaan hutan juga menyebabkan berlakunya perubahan cuaca yang boleh mengancam kehidupan manusia sejagat. Ahli-ahli saintis bersetuju bahawa ketiadaan hutan menyebabkan muka bumi ini menjadi semakin panas lalu menyebabkan perubahan cuaca berlaku dengan mendadak. Perubahan cuaca ini menyebabkan perubahan musim sukar diramal seperti berlakunya kejadian hujan lebat yang turun tanpa henti bersama-sama dengan kejadian taufan yang begitu kerap. Jelaslah, kemusnahan hutan membawa berlakunya perubahan cuaca yang mengancam kehidupan manusia secara perlahan-lahan.

Malah, kadar pencemaran alam turut meningkat dengan ketiadaan hutan di negara ini kerana peranan hutan sebagai penapis semua pencemaran alam yang berlaku. Ketiadaan penapis inilah yang membawa berlakunya pencemaran udara, sungai, tanah runtuh, hakisan tanah dan bunyi yang lambat laun akan menjejaskan kehidupan manusia. Sikap menganggap bahawa hutan boleh membantu diri mereka sendiri merupakan satu anggapan yang silap kerana hutan mengambil masa yang lama untuk hidup dan tumbuh berbanding dengan manusia tetapi mudah untuk dimusnahkan tanpa perlu menggunakan teknologi tinggi pun. Sebenarnya, hutan boleh membantu mengawal tahap pencemaran tetapi tanpanya pencemaran alam akan berlaku dalam skala yang lebih besar lagi.

Impak lain yang wujud ekoran ketiadaan hutan di negara ini ialah imej negara akan terjejas dengan begitu teruk terutama pada mata masyarakat dunia yang lain. Ketika semua negara di dunia ini mula memberi penekanan terhadap alam sekitar dan penggunaan bahan bakar yang lebih mesra alam, negara kita pula terus membiarkan kawasan hutan dimusnahkan begitu sahaja tanpa kawalan. Penduduk negara ini akan dilabelkan sebagai manusia yang tidak menghargai alam walaupun sebilangan sahaja yang memusnahkan kawasan hutan negara itu. Oleh itu, imej negara akan dipandang rendah oleh orang luar kerana ketiadaan hutan yang dikaitkan dengan sikap rakyat negara ini yang tidak mengutamakan alam sekitar.

Konklusinya, hutan penting dalam kehidupan manusia terutama di negara kita ini. Tanpa hutan, pelbagai kemusnahan akan melanda negara ini secara perlahan-lahan tanpa kita sedari. Pada masa semua pihak menyedari bahawa hutan negara ini sudah pupus, kita sudah terlambat untuk menyelamatkannya. Ketika itu kita hanya menanti sahaja untuk menerima kesannya tanpa mempunyai sebarang peluang untuk mengubahnya. ‘Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya” menjadi peringatan betapa pentingnya kita melakukan tindakan awal dalam menyelesaikan semua masalah yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

PELAJAR HARUS FIKIR
USAHA-USAHA MENGEKALKAN HUTAN
? Mewartakan kawasan hutan sebagai Taman Negara
? Menggalakkan penanaman semula hutan yang telah ditebang
? Kempen kesedaran terutama di kalangan pelajar
? Mengubal undang-undang yang lebih ketat

468 ad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Stay updates with Us!