nav-left cat-right
cat-right

Karangan 7

Sukan di negara ini terus menjunam berbanding tahun 80-an yang menyaksikan mutu sukan negara terutama bola sepak begitu tinggi di rantau ini. Keadaan ini memberikan pandangan bahawa sesuatu tindakan harus dilakukan untuk membawa semula zaman kegemilangan sukan negara.

Pada pendapat anda apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Mutu sukan negara memang begitu memalukan terutama sukan-sukan tertentu seperti bola sepak, sepak takraw, dan acara trek jika hendak dibandingkan dengan prestasi ahli sukan negara pada zaman 80-an. Pelbagai pihak terutama masyarakat telah mula jemu dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa terutama persatuan sukan terbabit. Pihak media massa turut membuat pelbagai program untuk meneliti dan membuat cadangan yang konkrit untuk membantu memajukan sukan negara kita. Ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan untuk memajukan semula sukan negara.

Tindakan awal yang boleh dilakukan dalam menangani polemik ini ialah kerajaan melantik lebih ramai jurulatih asing datang untuk melatih ahli sukan negara dalam acara sukan yang begitu mengecewakan pencapaiannya. Kehadiran jurulatih asing ini amat penting kerana mereka mempunyai banyak pengalaman dalam merangka latihan yang sistematik dan berasaskan sains. Bukan jurulatih tempatan tidak layak untuk melatih ahli sukan negara tetapi pengalaman yang diperoleh oleh jurlatih asing itu memerlukan tempoh masa yang lama untuk dipelajari oleh jurulatih tempatan. Lantaran itu, mutu sukan negara akan meningkat secara mendadak dengan kehadiran lebih ramai jurulatih asing ke negara ini.

Pembinaan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa turut dilaksanakan dengan segera kerana kemudahan sebegini memberi banyak kelebihan kepada ahli sukan negara. Infrastruktur yang moden seperti stadium bola sepak yang besar, kolam renang bersaiz Olimpik dan trek bertaraf dunia menjadikan ahli sukan kita sudah biasa menyesuaikan diri mereka dengan suasana pertandingan yang sudah pasti akan dilakukan di luar negara tetapi dalam stadium atau balapan yang serupa. Latihan yang lebih kerap dan sistematik turut mampu dilaksanakan di kemudahan sukan yang bertaraf dunia ini selain memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mencuba dan menjadi ahli sukan juga. Maka, pembinaan lebih banyak kemudahan sukan akan membuka lebih banyak peluang kepada ahli sukan untuk meningkatkan diri lalu meninggikan kualiti sukan negara.

Bukan sahaja kemudahan sukan ini mampu menyediakan tempat berlatih yang baik tetapi kemudahan sukan ini turut menjadikan negara berpeluang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah acara sukan dunia. Semua kemudahan yang sudah tersedia ini wajar digunakan oleh kerajaan untuk menawarkan negara menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia yang mampu disertai oleh ahli sukan negara juga. Persaingan yang dihadapi oleh ahli sukan negara sudah pasti hebat kerana semua ahli sukan terbaik dunia akan datang ke acara sukan sebegini lalu menjadikan ahli sukan kita lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, mutu sukan negara terus bertambah jika negara menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf dunia.

Selain itu, ganjaran dalam bentuk kewangan dan kedudukan harus diberikan kepada ahli sukan, jurulatih dan sesiapa sahaja yang berperanan meningkatkan lagi prestasi sukan negara. Pemberian ganjaran dalam bentuk kewangan sudah pasti akan menarik minat dan menyuntik semangat kepada ahli sukan untuk memperoleh kejayaan yang lebih baik lagi dalam setiap acara yang disertainya. Bukan sahaja masa depan ahli sukan lebih terjamin dengan adanya ganjaran kewangan sebegini tetapi mereka juga boleh menggunakan bantuan kewangan itu untuk membuat atau menjalani latihan intensif yang lebih baik terutama di luar negara. Sesungguhnya, ganjaran kewangan berupaya meningkatkan prestasi ahli sukan negara kita dalam tempoh terdekat ini.

Malahan, kerajaan menerusi persatuan-persatuan sukan boleh mengadakan program untuk membentuk ahli sukan sejak peringkat awal lagi dengan memperkenalkan program-program pemilihan ahli sukan di bangku sekolah. Mereka yang terpilih ini akan diberi latihan dalam acara sukan tertentu selain menjalani kehidupan seperti pelajar biasa di sekolah untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan. Latihan yang bermula sejak mereka masih muda ini sudah pasti memberikan ahli sukan kita satu asas yang kukuh dalam sesuatu acara sukan itu dan hanya perlu digilap sahaja ketika mereka sudah dewasa untuk bertanding secara aktif. Maka, program melatih ahli sukan sejak di bangku sekolah mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru dalam acara sukan di negara ini.

Kesimpulannya, mutu sukan negara kita memang berada di tahap yang begitu mengecewakan sehingga rakyat sudah berasa bosan mendengarnya. Keadaan ini memerlukan satu perubahan drastik dalam cara kita melihat sukan kerana tanpa perubahan sebegini sudah pasti tidak akan berlaku perubahan yang dimaksudkan itu. Dalam masa yang sama ahli sukan turut berperanan untuk berusaha lebih gigih dan yakin akan kemampuan sendiri untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang lain. Slogan “majulah sukan untuk negara” harus dipraktikkan dengan sejelas mungkin.

PELAJAR PERLU FIKIR
FAEDAH-FAEDAH BERSUKAN
? Menyihatkan badan dan mengurangkan risiko penyakit
? Meningkatkan lagi keyakinan diri dan keupayaan melakukan sesuatu
? Mengelakkan pembabitan dalam aktiviti yang kurang sihat seperti dadah dan lepak
? Dapat bertemu dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat

468 ad

One Response to “Karangan 7”

  1. mira says:

    isi y mnarik sekali…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Stay updates with Us!