nav-left cat-right
cat-right

Karangan 9

Pembinaan lebuh raya di negara ini telah menjadi pujian masyarakat dunia tetapi kini sudah timbul pelbagai isu yang tidak sihat tentang lebuh raya yang menjadi kebanggaan kita semua itu.

Huraikan isu-isu yang melanda lebuh raya kita.

Lebuh raya di negara kita sering dipandang tinggi oleh masyarakat yang menganggap lebuh raya antara bukti negara ini mengalami perubahan kemodenan yang meluas. Semua lapisan masyarakat di negara ini sudah menggunakan lebuh raya dalam kehidupan mereka terutama untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain atau untuk bekerja. Dalam kita berasa bangga akan kemodenan sistem lebuh raya itu masih ada banyak isu yang melanda kemudahan awam negara kita ini yang mampu memadamkan keberkesanannya jika gagal diatasi segera. Oleh itu, pemahaman tentang isu yang melanda lebuh raya mampu meningkatkan kualiti lebuh raya kita.

Isu yang paling hebat dialami oleh lebuh raya kita ialah isu tol kerana saban tahun kadar harga tol terus dinaikkan sehingga menjadi satu beban pula kepada penggunanya. Kadar tol yang terlalu tinggi ini menyebabkan ramai pihak meluahkan rasa tidak senang kerana jumlah pengguna tol meningkat setiap tahun tetapi kadar tol tidak menurun pula kerana berpendapat semakin banyak pengguna sudah pasti tol akan berkurangan yakni konsep mudah perniagaan. Kadar tol bersama-sama kos minyak menyebabkan kos menggunakan kenderaan sendiri untuk ke destinasi tertentu begitu memeritkan poket pengguna. Maka, isu tol ini harus diperjelaskan dan diturunkan supaya lebih ramai pengguna lebuh raya mampu menikmati kemodenannya.

Kesesakan di lebuh raya juga menjadi bahan kutukan semua pihak terutama ketika musim perayaan atau waktu sibuk ke atau balik dari pejabat. Pengguna membuat kesimpulan bahawa mereka terpaksa membayar tol untuk berada dalam kesesakan lebuh raya padahal lebuh raya berfungsi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Pelbagai alasan dan cadangan telah dikemukakan oleh pihak berkuasa yang menguruskan lebuh raya tentang masalah ini tetapi pengguna beranggapan bahawa mereka hanya memberikan alasan sahaja tanpa melakukan sebarang tindakan yang konkrit untuk mengatasinya kerana pihak berkuasa sedar pengguna tiada pilihan lain. Jadi, selagi isu kesesakan lebuh raya ini tidak diselesaikan selagi itulah pihak berkuasa lebuh raya akan terus menerima kecaman demi kecaman kerana gagal melaksanakan tugas mereka.

Bukan sahaja kadar tol dan kesesakan begitu tinggi tetapi kadar kemalangan yang berlaku di lebuh raya juga menakutkan pengguna terutama ketika musim perayaan. Memang bandingan antara kemalangan di lebuh raya dan jalan raya biasa masih jauh beza tetapi lebuh raya sepatutnya memberikan ruang dan suasana memandu yang lebih selesa dan selamat buat pengguna terutama setelah mengenakan bayaran tol tersebut. Peningkatan kadar kemalangan terutama kemalangan ngeri sering dikaitkan dengan kesesakan lebuh raya dan juga struktur pembinaan kerana banyak kemalangan berlaku di kawasan berhampiran dengan tempat bayaran tol. Sesungguhnya, lebuh raya harus menjadi tempat terakhir yang paling selamat buat pemandu untuk memandu tetapi lebuh raya kita boleh menjadi antara tempat yang paling bahaya untuk dilalui.

Isu terakhir yang melanda lebuh raya ialah pembinaanya tidak mengambil kira aspek alam sekitar terutama kemusnahan hutan dan kawasan habitat flora serta fauna negara. Lebuh raya memerlukan kawasan yang luas untuk dibina kerana perlu ada lebih daripada 3 lorong untuk setiap haluan bersama-sama dengan lorong kecemasan dan sebagainya. Keadaan ini belum lagi mengambil kira keperluan untuk membina kawasan rehat dan sebagainya yang turut mengambil ruang yang begitu banyak untuk dimusnahkan oleh lebuh raya. Jelaslah, lebuh raya menyebabkan banyak kawasan hutan negara musnah dan kehidupan flora serta fauna negara terjejas kerana pembinaannya yang tidak mesra alam itu.

Konklusinya, projek lebuh raya ini masih mengalami pelbagai isu yang boleh menjejaskan peranannya dalam pembangunan negara kita. Masyarakat mahukan kadar tol yang lebih murah tetapi kualiti perkhidmatan yang jauh lebih baik manakala pihak pengurusn lebuh raya kita pula mahukan kadar tol yang lebih tinggi untuk menampung kos pengurusan dan penyenggaraan lebuh raya yang meningkat saban tahun. Pertentangan keperluan dan kepentingan ini menyebabkan semua isu yang melanda lebuh raya akan menjadi satu isu yang sukar untuk dileraikan begitu sahaja. Semua pihak perlu merenung dan melihat secara rasional untuk menyelesaikan masalah ini secara matang.

PELAJAR PERLU FIKIR
PERKEMBANGAN LEBUH RAYA
• Terdapat banyak lebuh raya di negara ini seperti
• Lebuh raya Utara-Selatan
• Lebuh raya Timur-Barat
• Lebuh Raya KL-Seremban
• Lebuh Raya Damansara
• Lebuh Raya Sprint
• Lebuh Raya Cheras-Hulu Kelang

FUNGSI LEBUH RAYA
• Memudahkan perjalanan antara sesuatu tempat
• Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
• Meningkatkan lagi kepesatan ekonomi terutama di kawasan bandar baru di sepanjang lebuh raya
• Merapatkan hubungan antara negeri-negeri

468 ad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Stay updates with Us!