Karangan PT3 03: Kegiatan cetak rompak di negara ini masih lagi berlaku terutama secara online.

Kegiatan cetak rompak di negara ini masih lagi berlaku terutama secara online. Jelaskan cara-cara untuk mengawal isu cetak rompak ini daripada menular.

Aktiviti cetak rompak di negara ini dikatakan sudah mencapai tahap meruncing terutama di kawasan bandar. Biasanya, amalan ini melibatkan pelanggaran hak cipta lagu, filem, muzik, dan gambar serta produk tertentu yang memberikan keuntungan kepada pesalah. Jadi, ada banyak perkara yang boleh dilakukan untuk mengekang masalah ini daripada berlarutan.

Langkah pertama melibatkan usaha pihak berkuasa menggubal akta yang lebih menyeluruh untuk menghalang kemelut ini berlaku. Dalam undang-undang ini hukuman yang dikenakan lebih berat seperti kadar denda yang tinggi dan tempoh penjara yang panjang kepada mana-mana pihak yang melakukan perkara negatif ini. Lama-kelamaan, semua pihak tidak berani terlibat dalam gejala cetak rompak kerana takut dihukum dengan hukuman yang berat itu.

Selain itu, polemik cetak rompak boleh dikawal apabila pihak berkuasa menyiarkan kempen kesedaran tentang isu ini. Kempen ini disiarkan menerusi internet dan rangkaian sosial kerana remaja sering menjadikan rangkaian sosial punca informasi mereka. Akibatnya, golongan muda ini memahami situasi cetak rompak di negara lalu mereka tidak akan melakukan amalan yang keji itu.

Tambahan pula, isu cetak rompak boleh dikawal apabila pihak penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dengan lebih menyeluruh. Bilangan anggota penguat kuasa ditambah bersama-sama kuasa mereka untuk menangkap, menahan dan menghukum sesiapa sahaja yang didapati bersalah melakukan cetak rompak. Akibatnya, pihak yang melakukan cetak rompak tidak berpeluang untuk menjalankan aktiviti mereka kerana rondaan pihak berkuasa begitu kerap.

Akhir sekali, satu badan khas yang berfungsi memantau aspek hak cipta ditubuhkan di negara ini sebagai kaedah menghalang cetak rompak. Badan khas ini mempunyai pegawai yang mahir dalam mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar hak cipta pihak lain. Jelaslah, badan khas ini berupaya menghalang sebarang niat jahat pihak tertentu untuk mempergunakan hak cipta produk syarikat lain di negara ini.

Kesimpulannya, masalah cetak rompak telah menjadi duri dalam daging di negara ini sehingga menjejaskan imej negara. Ada pihak yang melihat isu ini sebagai remeh lalu enggan berubah sikap dengan membeli produk sebenar itu. Bak kata pepatah hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang membuktikan bahawa masyarakat kita masih enggan bertindak dengan bijak untuk menyelesaikan masalah cetak rompak ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!