Karangan PT3 04: Kemajuan sains dan teknologi mendatangkan kebaikan kepada manusia.

Kemajuan sains dan teknologi mendatangkan kebaikan kepada manusia.
Huraikan pernyataan ini.

Perkembangan sains dan teknologi merujuk perubahan dalam penghasilan alat-alat yang memudahkan kehidupan manusia. Produk seperti kereta, komputer, televisyen, dan telefon bimbit menjadi bukti perkembangan sains dan teknologi itu. Sesungguhnya, kemajuan dalam bidang ini memang mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia.

Faedah yang paling ketara terhasil menerusi sains dan teknologi ialah perkara ini memudahkan urusan manusia di pejabat. Pengenalan sistem online memudahkan jabatan kerajaan dan swasta berkomunikasi sesama mereka serta masyarakat. Akibatnya, teknologi ini menjimatkan penggunaan kertas kerana urusan surat-menyurat diganti dengan komunikasi menerusi sistem online tersebut.

Selain itu, sains dan teknologi turut memudahkan komunikasi atau perhubungan sesama manusia. Penggunaan internet menjadikan kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di dunia ini menerusi satu sentuhan jari sahaja. Perkara ini boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, sahabat, dan kenalan kerana kosnya yang begitu murah.

Tambahan pula, sektor pendidikan turut menerima tempias pengenalan sains dan teknologi tersebut. Penggunaan komputer menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah lebih menarik serta efisien. Lantaran itu, para pelajar akan lebih cepat memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru mereka.

Sains dan teknologi turut membantu kehidupan suri rumah menjadi lebih mudah dan teratur. Penciptaan pelbagai jenis mesin dapat menggantikan tenaga wanita dalam menguruskan rumah tangga mereka seperti mesin basuh, periuk elektrik, dan pengisar makanan. Maka, tugas suri rumah menjadi lebih senang dan kehidupan keluarga lebih menarik.

Kesimpulannya, sains dan teknologi memang membawa banyak kesan positif terhadap manusia. Namun, ada pihak yang melihat teknologi dan sains menjadikan manusia semakin malas. Bak kata pepatah sekali air bah sekali pantai berubah yang menyaksikan kehidupan manusia bakal ditentukan oleh penghasilan sains dan teknologi yang selalu berubah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!