Karangan PT3 05: Ibu bapa memiliki tugas yang berat dalam proses membentuk anak yang baik tetapi pelbagai masalah tetap timbul.

Ibu bapa memiliki tugas yang berat dalam proses membentuk anak yang baik tetapi pelbagai masalah tetap timbul.
Huraikan cabaran-cabaran untuk mendidik anak pada masa ini.

Usaha mendidik anak bukanlah satu tugas yang ringan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Tugas di pejabat yang semakin mencabar turut menjejaskan tumpuan ibu bapa dalam usaha mendidik anak mereka tersebut. Jelaslah, ibu bapa alaf ini menghadapi cabaran yang menggunung dalam mendidik anak sendiri.

Dugaan utama yang menghalang ibu bapa melaksanakan tugas mereka dikaitkan dengan situasi kemunculan media rangkaian sosial itu. Remaja zaman ini sering membandingkan asuhan ibu bapa dengan rakan sebaya di dalam media rangkaian sosial terutamanya “facebook”. Apabila perbandingan dibuat sudah pasti didikan ibu bapa akan menjadi perbahasan dalam jiwa anak sehingga mereka tidak lagi menghormati ibu bapa sendiri.

Selain itu, ibu bapa era moden turut menghadapi cabaran mendidik anak yang begitu hebat kerana persaingan dalam aspek pendidikan begitu ketara. Semua ibu bapa mahu anak mereka berjaya dalam peperiksaan umum negara sehingga mereka mendesak anak belajar tanpa henti pula. Akibatnya, ada ibu bapa yang memaksa anak belajar lalu perselisihan faham berlaku sehingga menjejaskan hubungan keluarga.

Tambahan pula, kemunculan pelbagai gejala sosial dalam zaman ini telah meninggalkan kesan mendalam pada jiwa ibu bapa sehingga menjejaskan didikan mereka. Rasa risau jika anak mereka terpedaya dengan gejala sosial seperti melepak, merokok, berjudi, dan pengambilan dadah. Mereka terpaksa mendidik secara keras lalu anak mula memberontak menjadikan hubungan mereka terus renggang untuk satu tempoh yang panjang.

Cabaran terakhir yang menduga ibu bapa dalam melaksanakan tugas mereka ialah ibu bapa terpaksa menghadapi pemikiran materialistik masyarakat. Semua aspek kehidupan anak dipenuhi dengan keperluan kewangan terutamanya pendidikan, pakaian, dan peribadi yang sukar untuk dipenuhi oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, ibu bapa berasa tertekan lalu mereka mula bertindak melulu dalam urusan mendidik anak yang menimbulkan pertengkaran pula.

Kesimpulannya, tugas mendidik anak pada zaman ini bukanlah mudah. Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran terutama kemahiran teknologi komunikasi untuk memahami sikap anak mereka. Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana didikan awal sahaja yang berupaya menghasilkan anak yang baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!