Karangan PT3 06: Pelancongan semakin menjadi aspek penting dalam usaha menjana pendapatan negara terutama ketika ekonomi dunia merudum ini.

Pelancongan semakin menjadi aspek penting dalam usaha menjana pendapatan negara terutama ketika ekonomi dunia merudum ini. Namun, sektor ini turut membawa impak terhadap budaya tempatan.

Bincangkan kesan-kesan yang timbul ekoran kewujudan pelancongan ini terhadap budaya tempatan.

Industri pelancongan semakin penting kepada Malaysia kerana menyumbang pendapatan yang tinggi kepada negara. Sektor ini menyediakan peluang kerja kepada penduduk tempatan dan meningkatkan kadar tukaran wang asing negara pada masa yang sama. Justeru, pelancongan turut mendatangkan kesan yang banyak kepada budaya tempatan tanpa disedari oleh semua.

Ramai pihak berpendapat bahawa pelancongan memperkaya budaya tempatan yang sudah terkenal itu. Pelancong yang datang ke negara ini pasti menyerlahkan budaya mereka seperti suka membaca, menjaga kebersihan diri, dan menggunakan bahasa yang sopan lalu penduduk tempatan akan menirunya. Tuntasnya, sikap pelancong yang positif ini akan menjadi sebahagian daripada budaya tempatan kerana masyarakat kita pasti menirunya pula.

Sehubungan dengan hal itu, budaya tempatan akan berkembang kerana budaya ini dipupuk sebaik sahaja jumlah pelancong semakin meningkat saban tahun. Hal ini demikian kerana pelbagai pertunjukan kebudayaan tradisional boleh dianjurkan oleh pihak hotel yang menerima kunjungan pelancong asing itu. Jelaslah, lebih banyak penduduk tempatan yang akan melibatkan diri dalam pertunjukan tradisional ini lalu menjamin budaya lama ini terus hidup dalam masyarakat kita.

Selaras dengan hal itu, kedatangan pelancong asing boleh memupuk persefahaman antarabangsa pula. Mungkin suatu masa dahulu penduduk negara ini tidak memandang orang Jepun dengan persepsi kekejaman mereka ketika perang dahulu masih menghantui minda rakyat kita. Rumusnya, masyarakat akan saling memahami budaya orang lain apabila sering bertemu seperti orang Jepun yang memahami budaya kita dan kita yang menghormati budaya Jepun.

Kesimpulannya, sektor pelancongan harus diberi keutamaan oleh mana-mana pihak di negara ini kerana bidang ini memberikan pulangan yang lumayan. Namun, masih ada segelintir pihak yang melihat pelancongan sebagai satu kaedah penyebaran budaya kuning dalam kehidupan masyarakat. Peribahasa jauh perjalanan luas pandangan membuktikan bahawa pelancongan merupakan satu bidang yang berupaya memajukan minda masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!