Karangan PT3 07: Ibu bapa memainkan peranan dalam menghasilkan keluarga yang penyayang.

Ibu bapa memainkan peranan dalam menghasilkan keluarga yang penyayang.
Huraikan.

Keluarga penyayang bermaksud keluarga yang hidup dalam suasana yang baik dan harmoni. Biasanya, keluarga ini selalu menghabiskan masa bersama-sama dan berani meluahkan perasaan mereka sepanjang masa. Jadi, apakah tugas yang harus dilakukan oleh ibu bapa untuk memperoleh keluarga penyayang itu?

Perkara yang paling mudah dilakukan oleh ibu bapa untuk menjadikan keluarga mereka penyayang melibatkan curahan kasih sayang kepada anak-anak. Setiap pagi mereka harus memeluk dan mengucapkan kata-kata sayang kepada anak supaya mereka berasa disayangi selalu. Akibatnya, anak akan memiliki sikap yang positif apabila dicurahkan kasih sayang sepanjang masa oleh ibu bapa mereka.

Selain itu, ibu bapa yang prihatin terhadap masalah anak mereka akan berjaya menghasilkan keluarga yang penyayang itu. Semua perubahan sikap anak hendaklah diawasi kerana perubahan itu bermaksud anak mereka mempunyai masalah tertentu. Lama-kelamaan, anak akan menyedari bahawa ibu bapa mereka mengutamakan mereka kerana mempunyai sikap prihatin terhadap masalah anak.

Tambahan pula, keluarga penyayang akan terhasil sebaik sahaja ibu bapa menghabiskan masa dengan anak-anak mereka. Apabila ada cuti sekolah atau cuti umum sudah pasti masa itu dihabiskan dengan membawa anak melawat tempat baharu yang boleh merapatkan hubungan sesama keluarga. Aktiviti sebegini akan menjadikan interaksi ibu bapa dan anak menjadi intim.

Kesimpulannya, ibu bapa perlulah mengambil inisiatif untuk membentuk keluarga penyayang itu. Mereka harus sedar bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi yang mengingatkan kita betapa pentingnya teladan ibu bapa dalam kehidupan anak. Apabila ibu bapa bersikap positif usaha menghasilkan keluarga penyayang ini akan terhasil pula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!