Karangan PT3 08: Kehidupan remaja penuh dengan pelbagai cabaran terutama dalam kehidupan moden itu.

Kehidupan remaja penuh dengan pelbagai cabaran terutama dalam kehidupan moden itu.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kehidupan remaja pada zaman ini.

Kehidupan remaja merujuk cara mereka menjalani aktiviti harian dalam hidup itu. Ada remaja yang cemerlang hidupnya dan ada juga yang mengalami pelbagai rintangan yang hebat pula. Ringkasnya, banyak faktor mempengaruhi corak kehidupan remaja pada zaman ini.

Perkara penting yang mencorakkan kehidupan remaja dikaitkan dengan pemilikan keluarga yang berkaliber. Setiap ahli keluarga saling memberikan motivasi, nasihat, dan teguran yang betul kepada remaja ketika mereka mengalami masalah. Akibatnya, remaja yang ada keluarga yang berwawasan akan mengambil tindakan yang tepat dalam hala tuju kehidupan mereka.

Selain itu, remaja yang bijak menapis informasi yang diterima menerusi media massa akan mengharungi kehidupan dengan baik. Banyak bahan dalam media massa terutamanya internet yang memutarbelitkan fantasi dengan realiti. Lama-kelamaan, remaja yang gagal mengawal penggunaan media massa mereka akan terjerumus ke lembah hina.

Tambahan pula, kehidupan remaja banyak ditentukan oleh jenis rakan sebaya yang didampingi oleh mereka. Semua keputusan yang diambil oleh remaja pastinya berpunca daripada nasihat rakan sebaya itu. Remaja lebih mempercayai rakan sebaya kerana usia yang serupa tanpa memikirkan kematangan rakan mereka itu.

Sikap remaja itu sendiri turut mempengaruhi corak kehidupan mereka pada masa hadapan. Mereka yang ada semangat yang tinggi dan berupaya memotivasikan diri akan berjaya menepis cabaran kehidupan yang berlaku. Apabila sikap remaja itu berkualiti sudah pasti taraf kehidupan mereka juga akan menjadi lebih baik.

Kesimpulannya, remaja zaman ini perlulah bertanggungjawab terhadap kehidupan sendiri. Mereka tidak boleh menuding jari kepada sesiapa apabila kehidupan mereka tidak berjalan lancar. Sudah sampai masanya remaja kita mencipta kejayaan mereka berdasarkan kekuatan sendiri dan bukannya bergantung kepada orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!