Karangan SPM 06: Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang

Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang”. Tulis suatu rencana yang lengkap berdasarkan cogan kata di atas.

Cogan kata dicipta dengan pelbagai tujuan dalam kehidupan manusia kini. Pada satu peringkat cogan kata berperanan untuk menggambarkan tujuan sesuatu tindakan itu. Ada juga cogan kata yang dihasilkan dengan niat untuk menarik perhatian orang ramai terhadap sesuatu perkara pula. Jadi, “Sekolah Cemerlang Pelajar Terbilang” merupakan satu cogan kata yang mempunyai pelbagai tafsiran kepada pelajar, masyarakat dan sekolah itu sendiri.

Cogan kata ini bermaksud jika sekolah itu cemerlang dalam semua aspek maka sekolah itu akan mampu untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan terkenal. Kita semua sedia maklum bahawa sekolah merupakan tempat paling lama pelajar menghabiskan masa mereka yakni hampir 8-10 jam sehari dalam tempoh lima hari seminggu. Jumlah masa yang panjang di sekolah membuktikan bahawa semua perkara yang berlaku dalam hidup pelajar itu banyak bergantung atau berkait dengan pihak sekolah itu sendiri. Jelaslah, sekolah yang baik berupaya melahirkan pelajar yang lengkap daripada semua aspek kehidupan terutama peribadi dan kejayaan akademiknya.

Pemilikan cogan kata sebegini memberikan satu maksud yang jelas kepada mana-mana sekolah jua. Semangat warga sekolah pasti mampu ditingkatkan kerana semua sedar kepentingan sekolah dan penghuninya saling berkait. Guru-guru akan memastikan diri mereka berdedikasi untuk menjalankan tugas manakala pelajarnya pula mengingatkan diri sendiri agar lebih berdisiplin untuk memudahkan urusan pengajaran guru mereka kelak. Sesungguhnya, kewujudan cogan kata memberikan satu semangat yang tinggi kepada semua pihak untuk berusaha mencapainya.

Malah, cogan kata ini seolah-olah cuba membutkikan bahawa suasana sekolah yang baik perlu diwujudkan dahulu sebelum pelajarnya mendapat kejayaan pula. Sekolah yang cemerlang mampu melahirkan lebih banyak pelajar yang baik peribadi dan kejayaan akademiknya. Masyarakat akan mengenali seseorang pelajar itu belajar di sekolah yang tertentu berdasarkan karektor dan pencapaiannya dalam kehidupannya. Sebenarnya, suasana sekolah yang baik berupaya menentukan kejayaan pelajarnya pula.

Usaha untuk memiliki sekolah yang cemerlang dan pelajar yang terbilang bukanlah satu usaha yang mudah. Semua warga sekolah harus menyedari kenyataan ini lalu sanggup berganding bahu untuk menjalankan tugas masing-masing dengan baiknya. Semangat kerjasama sebeginilah yang bakal menyaksikan semua masalah yang dihadapi baik oleh sekolah atau pelajar ditangani dengan berkesan pula. Maka, cogan kata sebegini memberikan satu kefahaman kepada semua tentang usaha gigih yang menanti mereka jika mahu memperoleh kejayaan.

Selain itu, cogan kata ini turut membabitkan istilah pelajar terbilang yang seolah-olah memberitahu bahawa setiap pelajar tidak wajar melupakan sekolah lama mereka. Pelajar harus tahu menghargai sekolah mereka dalam pelbagai cara atau bentuk tertentu. Penghargaan dalam bentuk pemberian sumbangan kewangan untuk pihak sekolah menjalankan aktiviti pelajar menjadi satu contoh mudah buat pelajar. Jelaslah, pelajar yang memahami cogan kata ini akan terus menerus membantu sekolah mereka.

Kesimpulannya, cogan kata merupakan satu istilah yang sesuai digunakan di semua sekolah di negara ini. Pada masa yang sama cogan kata juga berupaya untuk menaikkan semangat guru dan pelajar untuk bergerak bersama-sama ke arah satu matlamat yang diidamkan. Ketiadaan cogan kata seolah-olah memberikan satu bayangan bahawa sekolah itu tidak mempunyai satu tradisi yang harus dipertahankan oleh pelajar dan gurunya. Bak kata peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” membuktikan sekolah juga ada peranan tertentu dalam mendidik pelajar.

Dipetik dari: http://www.etuisyen.com/k_spm05/

Latest Comments
  1. Dilashini

Leave a Reply to Dilashini Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!