Karangan SPM 07: Usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam negara memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.

Usaha menaik taraf sistem pengangkutan awam negara memberikan banyak manfaat kepada masyarakat.

Huraikan langkah-langkah menjadikan sistem pengangkutan awam sebagai pilihan utama masyarakat Malaysia.

Sistem pengangkutan awam merujuk sistem pengangkutan yang disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan rakyatnya bergerak ke destinasi yang dihajati oleh mereka. Perkhidmatan teksi, bas, LRT, kereta api, dan sebagainya merupakan antara sistem pengangkutan yang disediakan tersebut. Namun, sudah banyak pihak tertentu yang membuat komentar tentang kelemahan dalam sistem pengangkutan awam negara itu. Maka, apakah usaha-usaha yang harus dilaksanakan oleh kerajaan dalam menjadikan pengangkutan awam pilihan rakyat.

Langkah yang paling bijak dilakukan oleh kerajaan ialah pihak berkuasa menurunkan kadar tambang pengangkutan jenis ini. Kerajaan boleh mewajibkan semua pengusaha pengangkutan awam supaya mematuhi arahan ini dengan memberikan pelbagai insentif kepada pengusaha itu pula seperti pelepasan cukai keuntungan dan sebagainya. Dasar yang bijaksana ini akan menjadikan kos harian pergerakan rakyat akan menurun lalu menarik minat lebih banyak pihak untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai pengangkutan utama mereka. Ringkasnya, tambang yang murah akan menjadikan pengangkutan awam pilihan utama rakyat.

Selain itu, sistem pengangkutan awam yang bersatu atau berintregrasi sifatnya boleh menarik minat masyarakat terutama remaja untuk menggunakannya pula. Satu pelan dasar induk pengangkutan awam dirangka supaya semua sistem LRT dan MRT serta bas bersama-sama teksi disatukan lokasi dan pembayarannya untuk kemudahan rakyat. Kejayaan integrasi ini memerlukan satu bentuk kerjasama yang kukuh sesama pengusaha pengangkutan awam agar mereka mampu memberi perkhidmatan kepada semua kawasan strategik masyarakat. Jadi, kemampuan kerajaan menjadikan sistem pengangkutan awam bersatu atau seragam boleh menjadikan pengangkutan ini disukai oleh rakyat negara ini pada masa depan.

Tambahan pula, khidmat pelanggan sistem pengangkutan awam perlulah diubah menjadi lebih baik dan mesra pula. Pekerja sistem pengangkutan awam diberi latihan cara yang betul dan mesra untuk melayan keperluan pengguna dalam sebarang keadaan supaya perkhidmatan pengangkutan awam berjalan lancar. Kemampuan khidmat pelanggan yang baik akan menjadikan masyarakat lebih yakin dan gembira untuk menggunakan sebarang jenis pengangkutan awam ini dalam kehidupan harian mereka. Sesungguhnya, kejayaan pengangkutan awam negara banyak ditentukan oleh kemampuan sumber manusianya dalam melayan keperluan pengguna sepanjang masa.

Kerajaan juga boleh menaikkan harga kereta di negara ini dalam usaha untuk meningkatkan penggunaan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam negara. Semua kereta yang diimport dan dihasilkan oleh negara hendaklah dikenakan harga serta cukai yang tinggi supaya rakyat berfikir dua kali sebelum berhasrat untuk membeli kereta sendiri dalam kehidupan mereka. Apabila situasi ini berlaku sudah pasti banyak rakyat akan beralih untuk menggunakan sistem pengangkutan awam negara pada bila-bila masa sahaja kerana sedar kos pembelian kereta sendiri lebih mahal berbanding menggunakan bas atau LRT itu. Akibatnya, pengguna pengangkutan awam akan bertambah sepanjang masa kerana rakyat kos untuk menyelenggarakan kereta sendiri akan menghakis pendapatan bulanan mereka itu.

Akhir sekali, kerajaan bolehlah menjalankan kempen kesedaran yang efektif tentang kebaikan menggunakan pengangkutan awam di negara ini. Kempen ini perlulah menarik dan mempunyai konsep yang boleh difahami oleh generasi muda serta disiarkan menerusi media moden terutamanya internet. Kemampuan kerajaan menyediakan kempen yang berkualiti akan membuatkan rakyat negara ini cuba memberi peluang terhadap pengangkutan awam lalu jumlah pengguna pengangkutan ini akan bertambah. Sudah terang lagi bersuluh membuktikan bahawa kempen menjadi alat yang penting dalam usaha kerajaan mempopularkan pengangkutan awam negara.

Kesimpulannya, pengangkutan awam di negara ini masih jauh ketinggalan daripada aspek kemudahan dan jumlah penggunanya berbanding negara jiran seperti Singapura. Sudah sampai masanya kita semua berubah sikap dan persepsi terhadap pengangkutan awam yang dikatakan tidak berstatus tersebut. Jika negara mahu terus maju dan moden pastinya pengangkutan awam diberikan penekanan tinggi oleh kerajaan kita. Pengangkutan awam merupakan penentu kemajuan negara kita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!