Karangan SPM 09: Para pedagang senjata menjadikan nyawa manusia sebagai taruhan untuk mengaut keuntungan tinggi ekoran perkembangan industri senjata dunia.

Para pedagang senjata menjadikan nyawa manusia sebagai taruhan untuk mengaut keuntungan tinggi ekoran perkembangan industri senjata dunia.
Jelaskan.

Kita semua sedia maklum bahawa perkembangan industri senjata dunia telah menjadikan sektor ini sebagai salah satu bidang yang menguntungkan. Nyawa manusia telah dijadikan taruhan industri ini untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda terutamanya di kawasan rantau yang berisiko bergolak itu. Antara negara yang menjadi pengeksport utama senjata dunia meliputi Amerika Syarikat, Rusia, Jerman, Britain, Perancis, Itali, Brazil, China, dan beberapa negara lain. Kita harus memahami faktor yang menyebabkan industri ini terus berkembang walaupun jutaan nyawa manusia telah hilang akibat kewujudan industri ini.

Salah satu faktor yang menjana perkembangan industri senjata dunia dikaitkan dengan kemampuan industri ini untuk mengeluarkan pelbagai jenis peluru berpandu, kapal terbang canggih, kereta kebal yang unik, dan kapal selam yang berupaya berada di dalam laut untuk sekian lamanya. Semua teknologi yang disebutkan tadi mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan ketenteraan sesebuah negara terutama jika negara itu mempunyai sempadan dengan negara-negara yang berisiko tinggi berlakunya peperangan. Industri ini telah berjaya memenuhi pelbagai keperluan dalam bidang ketenteraan mana-mana negara di dunia ini. Jelaslah, industri ini berkembang kerana mereka berupaya memenuhi keperluan ketenteraan negara di dunia ini.

Selain itu, perkembangan industri ini turut dijanakan oleh amalan campur tangan kuasa besar dalam sebarang konflik yang melanda dunia pada masa ini. Tindakan campur tangan kuasa besar ini telah menambahkan kebuntuan sebarang usaha untuk mencari jalan penyelesaian antara pihak yang bersengketa tersebut. Rundingan demi rundingan yang diatur menemukan kegagalan sehingga menyebabkan pihak yang bertelagah itu tidak lagi mempercayai sebarang rundingan meja bulat yang boleh membawa keamanan lalu beralih mengangkat senjata untuk berperang. Ringkasnya, setiap peperangan yang tercetus mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan industri senjata dunia kerana mereka turut mempunyai kepentingan tertentu seperti kata pepatah ada udang di sebalik batu.

Tambahan pula, Amerika Syarikat yang dikatakan sebagai raja pembekal senjata dunia telah meningkatkan lagi pengaruh mereka dengan menggalakkan syarikat negara itu bergabung dengan syarikat pengeluar senjata yang lain. Penggabungan dengan syarikat senjata Eropah dan Asia telah menyebabkan mereka berupaya untuk mengawal pasaran senjata dengan lebih menyeluruh pula. Situasi ini menyebabkan pembekalan senjata dunia menjadi lebih luas, lancar, dan mudah sehingga sesiapa sahaja berupaya membeli peralatan canggih ini jika mereka mampu membayarnya. Lantaran itu, sebarang persengketaan pasti akan berakhir dengan penggunaan senjata sebagai jalan penyelesaiannya.

Peningkatan pasaran industri senjata api ini juga dikaitkan dengan kekerapan industri ini mengadakan pameran pelbagai peralatan senjata mereka di dunia. Walaupun, banyak negara menggunakan pameran ini dengan alasan boleh mendatangkan keuntungan daripada aspek pelancongan atau memberikan peluang kerja kepada rakyat tetapi perkara yang nyatalah ialah industri ini boleh mengiklankan peralatan mereka menerusi media massa yang membuat liputan pameran tersebut. Semua pihak terutamanya golongan muda akan berasa kagum dengan kecanggihan teknologi persenjataan yang dipamerkan itu lalu minda mereka hanya tertumpu kepada keupayaan senjata dalam menyelesaikan masalah pada masa depan. Sebenarnya, pameran persenjataan menjadi pintu masuk yang paling mudah ke dalam minda manusia bahawa semua masalah boleh diselesaikan jika manusia memiliki senjata yang paling canggih di dunia.

Industri ini juga semakin maju kerana mereka menggunakan peperangan yang berlaku sebagai medan buat mereka menguji kemampuan senjata yang dihasilkan oleh syarikat masing-masing itu. Pelbagai pihak yang berselisih faham dalam aspek kawasan sempadan negara akan menjadi mangsa adu domba syarikat pengeluar senjata ini. Apabila senjata mereka diuji dalam peperangan sebenar pelbagai perubahan boleh dibuat untuk menjadikan senjata itu lebih baik pada masa hadapan. Pada masa yang sama, peperangan juga menjadi tempat paling efektif buat industri ini untuk membuktikan kepada mana-mana pihak bahawa senjata mereka lebih baik berbanding senjata yang dihasilkan oleh pesaing mereka apabila jumlah kematian manusia dijadikan ukuran asas.

Konklusinya, semua kuasa besar yang terlibat dalam industri senjata dunia perlulah bersikap adil dalam menentukan masa depan dunia. Mereka seharusnya tidak menjadikan nyawa manusia sebagai taruhan untuk mengaut keuntungan yang besar. Kesan peperangan lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan bak kata pepatah menang jadi arang kalah jadi abu yang harus menjadi peringatan kepada semua bahawa senjata bukanlah cara terbaik untuk berdamai. Sudah sampai masanya kita semua mengutamakan ciri kemanusiaan dalam menyelesaikan semua persengketaan yang berlaku di dunia ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Stay updates with Us!